Monday, April 22, 2013

Bekas MB Selangor Sertai PAS



Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamad Muhd Taib mengisytiharkan menyertai PAS secara rasmi hari ini.

Borang keahlian diserahkan kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din.

Menurut Abdul Hadi, beliau telah bertemu Muhd Taib sejak setahun lalu dan pengumuman menyertai PAS dibuat dua hari selepas hari penamaan calon bagi mengelakkan tomahan beliau bersama parti kerana ingin menjadi calon.

“Pengumuman sengaja dibuat selepas penyerahan (penamaan) calon. Saya dah jumpa setahun lalu.

“Kami di PAS mengalu-alukan penyertaan. Ini adalah sokongan dan dokongan daripada orang berpengaruh di Selangor.

“Ia juga memberikan kekuatan baru kepada PAS menghadapi PRU,” katanya ringkas pada sidang media.

Bagi Mat Taib, negara sekarang perlu mengalami perubahan ke arah roh Islam agar masyarakat terutama orang Melayu beragama Islam lebih menghayati Islam.

Jelasnya, perjuangan bersama PAS merupakan pilihan yang terbaik dan masyarakat perlu memberikan undi kepada mereka.

“Saya tidak berhajat jadi calon dan mendapatkan jawatan. Saya nak beri sokongan kepada PAS

“Saya menjadi Menteri Besar selama 11 tahun dan berkecimpung dalam politik bersama Umno sejak usia 25 tahun.

“Kini saya berusia 65 tahun. Memang benar negara maju, Selangor negeri maju sekarang dan satu perubahan mesti dilakukan.

“Pembangunan mesti ada roh, tanpa roh ianya menjadi kucar kacir.

“Saya fikir mana parti yang boleh mengisi roh. Mesti parti yang boleh memperjuangkan Islam.

“Hanya kepimpinan PAS yang boleh membawa kesedaran agama,” katanya.

Beliau menambah, Islam mesti berkembang di bandar-bandar memandangkan orang Melayu Islam ramai di bandar.

Katanya, orang Melayu di bandar mesti menaikkan syiar Islam melalui undi.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Othman turut menyambut baik penyertaan Mat Taib ke dalam PAS.

Menurut beliau, sudah pastinya sejarah lampau akan diungkit kembali oleh pihak lawan dan perkara berkenaan menjadi sebahagian lumrah perjuangan.

Berdasarkan latar belakang politik, Mat Taib merupakan mantan Menteri Besar Selangor dari tahun 1986 hingga 1997.

Beliau pernah menjadi Adun Batang Kali pada tahun 1982, 1986, 1990 dan 1995.

Selain itu, beliau turut dilantik sebagai Senator Dewan Negara dari tahun 2006 hingga 2009.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails