Monday, November 1, 2010

PROSES PEMBENTUKAN PERIBADI MUJAHID

PROSES PEMBENTUKAN PERIBADI MUJAHID HASIL  LENTURAN RASULULLAH SAW.

Proses pembentukkan peribadi para pejuang dilentur oleh Rasulullah saw. melalui Amal Islami  yang merangkumi 3 kategori.
Amal Jamaei ( Harakah Islamiyyah )
Amal Ijtimaei ( Masyarakat )
Amal Fardi ( Individu )

Ø       Amal Jamaei.

Sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah saw.  membentuk satu kelompok usrah di rumah Arqam bin Abi Arqam sebagai proses pengkaderan, berasaskan :

1.       Ukhuwwah Islamiyyah    Persaudaraan Islam  )
2.       Tasawwur Amal Islami   Kefahaman Gerakkerja Islam )
3.       Tauziu’l Amal  توزيع العمل   Pengagihan tugas )
4.       Bina’ Asy – Syakhsiyyah بناءُ الشخصية (Membentuk perwatakan/keperibadian)
 

Jiwa yang soleh
Watak kepimpinan
Peribadi mujahid ( pejuang )

Pesanan Rasulullah saw. kepada Huzaifah Ibnul Yaman :
تَلْزَمُ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِيْنَ وَ إِماَمَهُمْ
“ Kamu hendaklah  beriltizam ( komited ) dengan Jamaah Islam dan pemimpin mereka.”
Riwayat : Bukhari dan Muslim )

Ø       Amal Ijtimaei.

Aktiviti  social dengan membawa konsep :

1.       At Ta’awun   التعاون bertolong bantu dalam perkara baik & takwa )
2.       At Tawasho التواصى berpesan – pesan dengan kebenaran dan kesabaran )
3.       Ad Dakwatu Ilallah ( menyeru kembali kepada  Allah swt. )
4.       Al Amru bil makruf
5.       An Nahyu A’nil mungkar

Berkata benar walau berhadapan dengan pemimpin yang dholim
Tegas dengan prinsip syara’


Ø       Amal Fardi

Berpusat kepada agenda taqarrub kepada Allah swt.

1.       Qiamulaill & Solat An Nawafil ( Solat sunat )
2.       Fikir dan zikir  )Al Mathurat dll (
3.       Tilawatul quran


يَاأَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ   قُمْ اللَّيْلَ إِلا قَلِيلا   نِصْفَهُ أَوْ انْقُصْ مِنْهُ قَلِيلا   أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلْ الْقُرْآنَ تَرْتِيلا   إِنَّا سَنُلْقِي عَلَيْكَ قَوْلا ثَقِيلا
Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, Ataupun lebihkan daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat.                             
-  Muzammil : 1 – 5

Ustaz Nasarudin Hasan Tantawi
Ketua Pemuda PAS Pusat

KONSEP SPIRITUAL DALAM HARAKAH ISLAMIYYAH.


                                     
                                    Hubungan erat  dan taqarrub kepada Allah swt.
                                   
                                    Dakwah dan Aktiviti  yang berterusan  ( istiqamah dan thabat )

                                    Harap  dan Tawakkal kepada Allah swt.


Hubungan Erat dan Taqarrub kepada Allah swt.

1.       Munajat .
2.       Qiamullail dan Tilawatul Quran
3.       Fikir dan Zikir
4.       Qunut Nazilah
5.       Solat Berjamaah
6.       Infaq Fi Sabilillah


Dakwah dan Aktiviti yang berterusan ( Istiqamah dan Thabat )

1.       Mengajar dan belajar
2.       Dakwah Ammah    ( ceramah Umum ) dan Ceramah kelompok
3.       Dakwah Fardiyyah ( individu )
4.       Program dalaman ( Mini tamrin , Usrah   dll. )
5.       Mesyuarat dan Dialog
6.       Forum , seminar , konvensyen dll.


Harap dan Tawakkal kepada Allah swt.

1.       Yakin / optimis terhadap kemenangan Islam .
2.       Tidak sempit dada  dan hilang pedoman .
3.       Tenang dan berkarisma .
4.       Tidak gopoh dan bertindak sendiri .

Firman Allah swt :

لَقَدْ نَصَرَكُمْ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمْ الأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam banyak medan-medan perang dan di medan perang Hunain, iaitu semasa kamu merasa megah dengan sebab bilangan kamu yang ramai; maka bilangan yang ramai itu tidak mendatangkan faedah kepada kamu sedikitpun; dan (semasa kamu merasa) bumi yang luas itu menjadi sempit kepada kamu; kemudian kamu berpaling undur melarikan diri.
( At - Taubah  : 25 )


Ustaz Nasarudin Hasan Tantawi
Ketua Pemuda PAS Pusat

Keadilan dan Kepedulian

Tidak pedulisme, mungkin satu perkataan baru buat anda. Apa yang pasti elemen ini begitu kuat  dilihat dalam masyarakat mutakhir ini. Tidak pedulismenya kita pada jiran tetangga menyebabkan masalah keadilan sosial kian meruncing. Tidak pedulismenya ibu bapa menyebabkan anak-anak terabai keperluan kasih sayang. Dalam arena Malaysia ke arah pembangunan dan pembaharuan Wawasan 2020, wajarkah pembangunan negara dalam pelbagai bidang diteruskan dengan mengenepikan pembangunan jiwa? Masyarakat kian parah dengan gejala negatif yang tidak pernah berkurang malah terus-menerus bercambah bagaikan cendawan.
  
Nasihat melalui tauladan adalah nasihat yang paling berkesan
 
Bukan lagi suatu mimpi anak berumur sebelas tahun mampu menonton rakaman video lucah bersama abangnya yang baru berumur 12 tahun. Kepercayaan pincang ibu bapa mahupun sesiapa sahaja yang terdekat terhadap anak sendiri mengakibatkan tiada pemantauan serius terhadap aktiviti harian anak-anak kerana kesibukan mencari harta dunia. Pengharapan seratus-peratus dalam tugas mendidik dengan mudah diletakkan di bahu guru-guru mahupun pembantu rumah yang pastinya tidak mungkin dapat menjalankan tanggungjawabnya sebaik ibu bapa kandung sendiri. Tujuh jam anak-anak di sekolah bukanlah masa puncak untuk melentur buluh dari rebungnya, peranan ibu bapa lagi tujuh belas jam menjadi persoalan.

Kepelbagaian karenah anak-anak di sekolah apabila diselidik, dengan mudahnya dapat dikesan berlaku pergolakan di rumahnya sendiri. Ibu bapa yang mahu guru-guru memberi komitmen kepada anaknya di sekolah seharusnya turut melangsaikan tugasnya bersama-sama anak-anak. Ambillah peluang dan turutilah nasihat bagaimana berbezanya keluarga bahagia dengan keluarga yang porak-peranda. Seorang anak kecil di bangku sekolah rendah tidak mampu meluahkan perasaannya secara terus kepada kita sebagai orang tua. Apa yang mereka lakukan untuk menarik perhatian orang di sekeliling ialah dengan berbuat kesalahan demi kesalahan supaya ada yang sudi menunjukkan kasih sayang.
 Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Andai saluran kasih sayang diletakkan di tempat yang salah, maka ranaplah masa depan anak-anak ini. Solat tidak dijaga, bacaan al-Qurannya entah ke mana. Rugilah umat Islam sekiranya seorang demi seorang anak bangsa hanyut dibuai keasyikan duniawi. Terbahak-bahaklah musuh Islam melihat kejahilan kita. Anak-anak sekalipun sebenarnya tidak boleh menyalahkan ibu bapa apabila dewasa kelak kerana kita berhak memilih dalam hidup ini. Mahu menjadi golongan mu'minin atau sebaliknya. Hidayah perlu dicari, bukan dinanti. Kesilapan menuding jari sesama sendiri hanya akan merugikan kesatuan umat Islam. Hal ini sering dilihat di kaca televiyen mahupun media-media yang lain.

Anak, ibu bapa, guru, jiran tetangga serta barisan kepimpinan negara keseluruhannya tidak seharusnya memandang enteng keadilan dan keperluan mendidik antara satu sama lain.Tidak betul namanya jika anak dipaksa solat lima hari semalam, dihantar ke sekolah agama beratus-ratus ringgit sebulan, tetapi sekalipun tidak pernah menunjukkan diri sendiri dalam menjalankan tanggungjawab beribadah. Tidak ditunjukkan diri sebagai role model terbaik. Tidak betul juga jika diperhabiskan jutaan ringgit untuk kempen merokok sekiranya kepimpinan teratas juga menjadikan rokok sebagai kawan baik!
 
Keadilan itu sendiri bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Jika tidak, jadilah anak menyaman bapa, bapa menyaman anak sendiri. Tanpa segan silu. Institusi kekeluargaan yang punah melahirkan masyarakat yang rosak dengan seribu satu masalah yang tidak dapat diselesaikan. Berterima kasihlah kepada Allah dan jauhkanlah diri dan keluarga kita daripada perkara yang melalaikan. Tiang agama iaitu solat usah diperkecilkan keberkatannya. Ramadhan yang dirindui kedatangannya ini nanti sambutlah dengan penuh keinsafan. Wallahua'lam.

sumber: iLuvislam

Kajian dapati pengundi muda sokong PAS di Galas

GUA MUSANG, 1 Nov: Kebanyakan pengundi muda yang ditemubual menerusi panggilan telefon oleh sebuah badan penyelidikan bebas berkata mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil DUN Galas yang akan berlangsung 4 November ini.

Dapatan ini dikeluarkan oleh badan penyelidikan bebas Ilham Centre, yang sentiasa mengikuti perkembangan pilihanraya-pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum ke 12 yang lalu.

“Kami membuat panggilan telefon semalam dan hari ini kepada 2150 pengundi muda dalam kawasan DUN Galas dan 320 melayan dengan baik dan member I kerjasama,” kata Pengarah Eksekutif Ilham, Muhamad Hisommudin Bakar di sini petang ini.

Mereka yang ditelefon mewakili semua daerah-daerah mengundi di Galas dan berumur antara 21 hingga 40 tahun.

Daripada jumlah itu beliau berkata 168 responden mengaku akan mengundi calon PAS, 41 akan mengundi calon BN manakala 112 lagi belum membuat keputusan.

Ilham turut mengadakan kajian lapangan dalam tempoh kempen pilihanraya kecil ini dengan menurunkan 50 pembanci dan satu gambaran menyeluruh akan dikeluarkan  kepada pihak media sebelum hari mengundi.

Sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Ilham telah membuat kajian lapangan menjelang sesuatu pilihan raya kecil.

Sehingga kini, kesemua hasil kajian Ilham adalah tepat dengan keputusan pilihan raya sebenarnya termasuk yang terakhir di Bgan Pinang di mana sejak dari awal lagi kajian Ilham menunjukkan sokongan terhadap PAS lemah di kawasan pilihan raya itu.


sumber:Harakahdaily

Agenda Rakyat

Thursday, October 28, 2010

BN peralat wanita, anak-anak dalam kesedihan

SANDAKAN, 28 Okt: PKR menyifatkan tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan balu kepada bekas anggota Parlimen Batu Sapi yang baru meninggal dunia satu tindakan memperalatkan wanita yang sedang bersedih itu.

Demikian dakwa Pengarah Pilihan raya PKR, Fuziah Salleh dalam sidang media yang diadakan di sini semalam ketika mengulas pemilihan Linda Tsen Thau Lin sebagai calonnya di Batu Sapi.

Bagi beliau, perbuatan BN ini telah membuktikan mereka lansung tidak menjaga perasan Linda dan anak-anak kepada kemalangan yang berlaku, dan diwaktu yang sama mereka terpaksa menerima kesusahan yang dibebankan dalam memastikan PBS dan BN berkuasa.

"PBS telah mempergunakan Linda dalam survival politik mereka, BN  sendiri juga sanggup mempergunakan seorang wanita dalam kesedihan dan mempuyai tasnggungjawap kepada anak-anak yang tertekan akibat kehilangan seorang bapa secara mengejut," kata Fuziah.

Suami Linda, Edward meninggal dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini apabila motosikal kuasa tingginya terlibat dalam kemalangan itu.

Sementara itu, media mula melihat calon BN itu menghadapi masalah untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia kerana sehingga kini tidak ada sebarang kenyataannya yang dibuat dalam bahasa Kebangsaan itu.

Ekoran itu Fuziah berkata, calon PKR adalah pilihan raya terbaik untuk rakyat Batu Sapi bagi membolehkan segala isu mengenainya disampaikan dengan baik dalam Dewan Rakyat.

"Calon MP perlu mampu membawa isu nasional yang mampu dihubungkait dengan isu tempatan serta boleh direalisasikan ke peringkat setempat. Oleh rakyat Batu Sapi perlu seorang calon MP yang berwibawa untuk suara rakyat keparlimen dalam memastikan kebajikan dan hak mereka dipertahankan," kata beliau dalam sidang media itu.


sumber: Harakahdaily

Masyarakat Tionghua senang dengan Dr Zulkefli

GUA MUSANG, 28 Okt: Masyarakat Tionghua Galas yakin calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed mampu meneruskan kesinambungan perjuangan wakil rakyat terdahulu, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Dr Zulkefli yang pernah bertanding di Galas pada pilihan raya 2004, dikenali mereka sebagai mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sudah semestinya berupaya untuk menerajui perubahan rakyat semua kaum di kawasan itu.

Selain sifatnya yang lemah lembut, tidak lokek mengukir senyum setiap kali bertemu orang ramai membuatkan Dr Zulkefli senang didampingi oleh segenap lapisan masyarakat.

Seorang masyarakat Cina, Chee Kin Hwa, 53, berkata, pemilihan Dr Zulkefli sebagai calon wakil rakyat Galas adalah tepat berdasarkan pengalamannya yang pernah berkhidmat kepada rakyat.

“Dr Zul bagus. Dia orang baik, tidak sombong dengan orang ramai sama ada kenal atau tidak kenal kalau berhadapan dengan dia kita mudah akan dapat merasai kemesraannya.

“Saya percaya kaum Cina di Galas akan memberi sokongan seratus peratus kepada Dr Zul dalam pilihan raya kecil ini,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru, Gua Musang dekat sini malam tadi.

Chee berkata, sebagai masyarakat veteran dia amat memahami citarasa atau sentimen pengundi Cina Galas yang lebih mengutamakan pemimpin yang berperwatakan bersih, telus, adil serta ikhlas dengan rakyat.

Chong Kun Sew, 42, menerima kerajaan pimpinan ulama berdasarkan sikap terbuka PAS yang tidak pentingkan satu bangsa, sebaliknya meletakkan kepentingan masyarakat semua kaum atau bangsa di dalam negara dengan sama rata.

“Kita mahukan seorang pemimpin yang boleh jaga rakyat. Ada masa untuk jenguk rakyat, tanya khabar apa masalah rakyat, bukan masa pilihan raya sahaja hendak jumpa rakyat selepas itu hilang, setahun tak boleh jumpa sekali, sibuk kononnya.

“Saya yakin Dr Zul boleh jadi seperti Chek Hashim dulu. Kalau lebih dari itu lagi bagus,” katanya yang pernah menemani Allahyarham Che Hashim semasa mendapat rawatan di Cina sebanyak lima kali.

Allahyarham Chek Hashim meninggal dunia pada 27 September lalu akibat barah usus pernah menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San oleh pakar dari Beijing.

Sementara itu, Wong Siew Lan, 45, memberitahu masyarakat Cina masih mengenang pemergian Allahyarham Chek Hashim yang dianggap kehilangannya sukar dicari ganti, dan berharap Dr Zul menjadi penerus demi keharmonian masyarakat Galas.

“Kaum Tionghua Gua Musang banyak terhutang budi pada wakil rakyat Chek Hashim. Sikap bertanggungjawab, rendah diri, suka menolong dan tidak berkira dengan rakyat, menjadikan kehilangannya seperti sukar dicari ganti.

“Saya menyeru semua pengundi Cina terus undi calon PAS (Dr Zulkefli) sebagai tanda kasih sayang berkekalan kepada Chek Hashim yang telah banyak membuat jasa kepada rakyat,” katanya.

Pada masa sama, Yap Chan Look, 34, berkata PAS mempunyai harapan besar untuk pertahankan kemenangannya di Galas.

“Tanggungjawab kerajaan Pas kepada rakyat adalah jelas. Mereka telus. Kebajikan rakyat diageh dengan adil tak kira kaum Cina, India atau Asli.

“Saya fikir tidak ada sebab rakyat semua kaum hendak tolak atau tukar perjuangan Pas kepada parti lain,” jelasnya.

Jumlah pengundi Cina Dun Galas adalah 20.06 peratus dengan 2,317 orang pengundi.


sumber: Harakahdaily

SELAMAT BERJUANG JENTERA PAS PERAK DI DUN GALAS N 45


GALAS: Pesuruhjaya PAS Perak memberi kata-kata semangat kepada seluruh jentera PAS Perak yang diamanahkan bertugas di DUN Galas ( N 45 ) agar terus berjuang dan beristiqamah dalam memastikan kemenangan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad bagi memenangi kerusi DUN Galas ( N 45 ) .
Beliau menyatakan bahawa kemenangan PAS di Galas ini amat penting bagi meneruskan agenda perjuangan PAS bumi Kelantan Darul Naim.
Memetik ucapan beliau, “Permatang Pauh, Permatang Pasir, Penanti, Bukit Selambau, Bukit Gantang, Manek Urai telah mencatat sejarah kemenangan dalam pilihanraya kecil (PRK) kepada PR dengan pencapaian yang begitu baik. Manakala di Kuala Terengganu yang terletak di timur pula juga telah mengukir kemenangan apabila kita berjaya mengambil kerusi tersebut dari tangan BN.
“Kini tiba pula giliran Galas untuk memberi mesej yang lebih jelas kepada BN, bahawa rakyat pelbagai kaum di negara ini mahukan PR mentadbir Malaysia dan membuka lebaran baru untuk rakyat dalam membangunkan sebuah negara yang adil dan berkebajikan”.
Sehubungan dengan itu beliau berharap agar jentera PAS Perak sentiasa meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dalam setiap ibadah dan gerak kerja yang dilakukan, ini kerana kemenangan sebenar adalah apabila adanya bantuan Allah SWT dalam perjuangan kita, dan seluruh jentera PAS Perak juga perlu bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya di Perak. “Semoga momentum kemenangan PR dalam PRK yang berlaku sebelum ini, memberi gambaran awal bahawa Perak akan kembali berada dibawah kepimpinan Pakatan Rakyat”, jelas beliau.
Ustaz Abu Bakar Hussain
Pesuruhjaya PAS Perak

Monday, October 25, 2010

BAJET 2011-BELANJAWAN SEORANG CEO YG AKAN TAMAT KONTRAK

Asalamualaikum dan salam sejahtera:

Pada 15 okt (Jumaat) YAB PM telah bentangkan bajet bagi tahun 2011 yg berdefisit 5.6% dari GDP dgn jumlah perbelanjaan mencecah RM212Bilion. Sebelum pembentangan banyak telahan dibuat mengenai perkara yg akan disentuh serta diberi peruntukan sewajarnya, khususnya bonus anggota kerajaan, penurunan cukai, penurunan harga barangan keperluan dan utiliti dsbnya. Kesimpulanya suatu bajet yg bersemangat rakyat, memunafaatkan rakyat. Namun terbokti ianya hanya memenuhi kepentingan pihak tertentu yg amat kecil jumlahnya dan bukan rakyat jelata.

Segala pengharapan tidak termaktub dlm bajet tersebut cuma kenaikan imbuhan bagi JKKK, para imam , tok batin, guru2 kafa . Tidak dinafikan peruntukan untuk SAR dlm bentuk pemberian perkapita RM95juta dikembalikan semula yg dahulunya telah dimansuhkan oleh Tun Dr Mahathir sehingga menyebabkan banyak SAR menjadi SABK.

Apabila seorang ketua firma , MD atau CEO mengetahui bahawa kontrak perkhidmatanya tidak akan disambung lagi utk tahun2 berikutnya, maka belanjawan terakhir yg dibuatnya buat kali terakhir akan mengandungi ciri memperbanyakan perbelanjaan yg bolih memberi munafat atau pulangan bagi dirinya atau suku sakatnya utk tahun2 mendatang. Perjanjian akan dimuktamadkan, kelulusan dan apa jua dokumen kontrak akan segera dimuktamadkan sehingga ada dianatarnya dalam bentuk serta merta.

Ini jelas terkandung didalam bajet 2011 ini. Projek permata Rm111j, bangunan 100 tingkat warisan merdeka RM5Billion, pembangunan KL International Financial Centre di Sg Besi kpd 1MDB(Jho Low)-RM2.1 B , kemudahan Infra, highway dll . ini semua akan memunafaatkan segelintir orang tertentu. Rakyat jelata tidak mendapat apa2 pulangan langsung/direct.

Penghapusan cukai eksais untuk sekitar 300 barangan persendirian amat memualkan kerana kebanyakan barangan impot ini dinikmati oleh para pelancung.

Mungkinkah ini yg dimaksudkan dgn belanjawan terakhir buat BN? sebelum mereka menjadi pembangkang di Parlimen?Tanya Yb Mahfoz Omar (Pokok Sena)!


Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin
Menteri Besar Perak PR

“Bajet 2011 – membawa negara ke arah mana ?”

Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Pertama pada tanggal 15 Oktober 2010 telah menjelaskan lagi bahawa agenda ekonomi dan transformasi yang dibawa oleh beliau sebenarnya berpusing ditakuk lama dengan diberi penjenamaan semula. Ianya ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.
Akhirnya, akibat dari penyelewangan, pembaziran, rasuah yang bermaharajalela serta sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama. Inilah yang ditekankan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahawa asas terbesar ialah bahawa kerajaan yang dipacu oleh UMNO-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun,  bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa ?
Dalam masa yang sama, fokus kerajaan juga terus tersasar di atas sebab-sebab yang tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih diperingkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta, berbanding dengan RM 100 juta untuk meningkatkan taraf hidup orang asli dan Peribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa Pendapatan Per Kapita meningkat sebanyak 6.1 % kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5%; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini !. Inilah hakikatnya. Kita katakan bahawa kerajaan UMNO-BN lah sebenarnya yang menjadi “saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian. Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan.

Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM 5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja. Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini, kerana pimpinan UMNO-BN lah sebenarnya yang ‘bermimpikan projek’ lantas ‘memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat’.

PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Memo Taubat Buat Rosmah

1. Astaghfirullah .... satu tindakan yang cukup memalukan , jahil lagi berniat jahat terhadap ajaran Islam yang suci ini. Lebih  - lebih lagi penganjurannya dinaungi oleh orang besar negara .
 
2.  Islamic Fashion Show atau Islamic Fashion FestiVal [ IFF ] ini memang berasal dari Malaysia  dan ianya diasaskan oleh Dato'  Raja Rezza  Shah  sementara Datin Rosmah Mansur bertindak sebagai penaungnya [ founding patron ] .

3. Bukan sahaja pakaian yang diperagakan ini bertentangan dengan prinsip pakaian Islam , lebih malang mereka berani menghina Rasulullah saw dengan melakarkan nama baginda di pakaian yang sedemikian .

4. Jika bukan niat menghina Islam , tindakan apakah seperti ini ? sungguh memalukan . Saya tidak jangka mereka sejahil itu , sehingga tidak mengetahui bagaimanakah bentuk pakaian Islam yang sebenarnya , sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt . Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat : 31

[ Katakan kepada orang - orang perempuan yang beriman , supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke bawah dadanya . 
 
Janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada  suaminya , bapanya , bapa suaminya , anaknya , anak suaminya , saudaranya , anak saudaranya yang lelaki , anak saudaranya yang perempuan , perempuan muslimah , hamba sahayanya , orang - orang yang mengikutnya dari kalangan lelaki yang tiada syahwah kepada perempuan , atau kanak - kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan .
 
Jangan mereka berjalan sambil menggoyangkan kakinya supaya diketahui orang perhiasan yang tersembunyi . Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah wahai orang - orang yang beriman mudah - mudahan kamu beroleh kejayaan . ]

5. Datin Seri Rosmah telah diberikan peluang oleh Allah swt menjadi orang penting dan berpengaruh dalam negara ini . Suami Datin Seri adalah orang bertanggungjawab memimpin negara sebagai Perdana Menteri . Malang jika kedudukan yang dimiliki itu membawa  Datin Seri jauh daripada Allah swt . apalagi secara terbuka menentang syariat Allah swt.

6. Baru - baru ini Datin Seri Rosmah berjaya mempengaruhi suami untuk menganugerahkan RM 111 juta  bajet negara kepada PERMATA sebagai satu badan yang dipimpin oleh Datin Seri . Kini Datin Seri  memiliki segalanya selain suami , iaituharta dan takhta . Kemungkinan juga ia menjadikan Datin Seri Rosmah sebagai orang paling berkuasa di negara ini .

7. Namun kuasa bukanlah tiket untuk Datin Seri  berbuat sesuka hati terutama terhadap agama Islam yang suci ini kerana ia adalah agama milik Allah swt Tuhan yang Maha Berkuasa . Tuhan yang memberi sedikit harta dan takhta kepada Datin Seri   .Allah swt berhak dan mampu pada bila - bila masa sahaja menarik kembali segala nikmat yang dikurniakan justeru segala nikmat itu hanya ujian untuk melihatnya hambaNya bersyukur kepadaNya atau kufur .

8. Datin Seri Rosmah boleh memilih untuk bersyukur kepada Allah swt disamping segala keistemewaan dan kemewahan yang dimiliki , tetapi kenapa Datin Seri memilih untuk ingkar dan mempersenda Nabinya saw melalui tindakan Datin Seri menaungi Islamic Fashion Show yang jelas bertentangan dengan Islam  ? dan pula menghina Rasulullah saw melalui satu khat nama Rasul yang ditulis secara terbalik pada pakaian murahan sebagaimana yang terdapat di dalam gambar di atas .

9. Tindakan Datin Seri Rosmah cukup meninggalkan kesan jengkel dan kesal dalam jiwa ummat Islam yang perihatin . Memandangkan Datin Seri Rosmah cukup berkuasa dalam negara ini , kenapalah tidak dijadikan kuasa yang dimiliki itu benar - benar memartabatkan Islam. Islamic Fashion Show adalah satu idea yang bijak tetapi malang salah pakaian yang di peragakan. Bukan begitu pakaian Islam . Jika Datin Seri keliru , bagaimanalah pakaian Islam yang sebenarnya , Datin Seri boleh merujuk kepada para mufti yang ramai dalam negara kita atau paling tidak Datin Seri boleh merujuk kepada 40 ulama' Muda yang  baru - baru telah dirai dengan hebat lagi berprestij dikala mereka menyertai parti  yang dipimpin oleh suami Datin Seri .

10. Justeru itu saya melihat jahil bukan alasan dan isunya di sini . Saya bimbang benar Datin Seri bersekongkol dengan pihak musuh - musuh Islam untuk menghina dan mempersendakan Islam lalu menjadikan Datin Seri sebagai boneka . Namun saya harap tidak begitu , sebaliknya apa yang saya harap ialah Datin Seri kembali kepangkal jalan dan bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla  terutama saat usia kita telah hampir ke penghujung .

11. Biarpun Datin Seri kelihatan masih sihat , muda , kaya dan berharta , namun suka saya mengingatkan kata - kata hikmah yang selalu dilafazkan oleh Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa mati tidak syarat sakit dan mati juga tidak syarat tua . Sementelah jika kita selalu sakit dan usia pula telah meningkat tua .

12. Datin Seri berdepan dengan amanah ummah . Datin Seri masih ada ruang dan peluang untuk berbakti kepada ummah dan mentaati Allah Azza wa Jalla. 
 
Pertama , janganlah diulang lagi kesilapan serupa. Tarik diri dari terus menaungi program mungkar seperti penganjuran islamic Fashion Show yang menghina Islam dan mengelirukan ummah .

Kedua , melalui PERMATA yang dipimpin oleh Datin Seri , setelah memiliki peruntukan sedemikian banyak dari bajet negara [ RM 111 juta ] , mengatasi peruntukkan Sekolah Agama Rakyat [ RM 95 juta ] dan peruntukan rakyat marhain , Datin Seri sewajarnya manafaat kan anugerah tersebut untuk berbakti kepada agama , negara dan bangsa seperti mempertingkatkan bantuan pendidikan kepada pelajar luar bandar yang rata - ratanya tidak bernasib baik kerana faktor kemiskinan .

Juga membantu ibu tunggal dan anak - anak yatim di seluruh negara tanpa mengira dari parti manakah mereka warisi kemiskinan itu . Jadilah ibu kepada semua rakyat bukan hanya ibu kepada golongan bangsawan dan kenamaan . Rendahkan sayap untuk turun bersama rakyat , bukan hanya singgah dan berpaut di istana hinggap .

13.  Andai Datin Seri terbaca atau membaca Memo Taubat yang  saya hantar buat tatapan Datin Seri di alam cyber lalu ini , saya harap Datin Seri tidak marah kepada saya . Justeru saya hanya menyeru agar Datin Seri kembali kepangkuan Islam  dengan melaksanakan suruhan Allah swt seperti menutup aurat lalu bertaubat kepada Allah swt atas kesalahan lsilam. Lantas pimpinlah tangan suami Datin Seri ke arah jalan yang betul agar ia menjadi Perdana Menteri yang juga taat kepada Allah swt .

14. Bicara atau Memo Taubat yang saya nukilkan ini memang tidak sedap di dengar oleh Datin Seri berbanding bisikan - bisikan para penasihat istana Datin Seri yang senantiasa mengampu dan memuji . Percayalah , kata - kata itu bukan kerana mereka kasihkan Datin Seri tetapi menjadikan Datin Seri lupa diri dan semakin angkuh di puncak bumi .

15. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bahkan seluruh ummat Islam yang terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Datin Seri dalam menaungi program mungkar ini sangat berharap agar Datin Seri kembali menyusur pulang ke pangkal jalan dan insyaalah tidak hilang bisa ular dek kerana menyusur akar  sebaliknya tawar ilmu sang pendita dek kerana menyusup laku .

Ustaz Nasarudin Hasan Tantawi
Ketua Pemuda PAS Pusat

Umno tabur impian rumah rakyat di Galas

GUA MUSANG, 25 Okt: Menjelang hari penamaan calon pilihan raya kecil Dun Galas, esok, kini kedua-dua parti sedang bersiap sedia mempamerkan kekuatan menjelang perarakan.
Bandar Gua Musang yang terletak hampir 200 kilometer dari Kota Bharu dan 300 kilometer dari Kuala Lumpur mulai dilimpahi manusia. Ramai yang tidak dikenali kelihatan di sana-sana.
Biar pun hari penamaan calon agak luar biasa kerana diadakan pada hari bekerja, namun ia tidak menghalang kedatangan tenaga kempen dari luar.
Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tersebut dianggap banyak pihak sebagai tidak mesra pengundi. Mengambil kira hari mengundi juga jatuh pada hari bekerja, kerajaan negeri menjadikan 4 November ini sebagai cuti umum di Kelantan.
Manakala petugas parti di kalangan penduduk tempatan dan pembantu dari luar mulai memasang sepanduk dan lambang parti di kawasan mereka malam sehingga awal pagi tadi.
Semalam juga berakhir teka teki siapa calon Barisan Nasional (BN), apabila Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Setiausaha Umno Gua Musang, Abdul Aziz Yusof.
Pengumuman itu mengiyakan telahan yang dibuat banyak pihak sebelum ini, orang kuat Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon bagi meneruskan cabaran merampas semula Dun Galas.
“Nampaknya usaha Ku Li untuk memastikan orang kanannya diberi tempat benar-benar menjadi kenyataan. Saya juga diberitahu Ku Li memberi kata dua itu kepada pemimpin kanan Umno di Kuala Lumpur.
“Difahamkan Ku Li hanya menerima pelantikan sebagai pengarah jentera pilihan raya BN sekiranya calon dipilih atas kehendaknya,” kata seorang aktivis Majlis NGO Kelantan.
Beliau juga mendakwa Ku Li menolak cadangan banyak pihak dalam Umno untuk memberi peluang kepadanya sebagai calon di Galas.
Katanya Ku Li sudah melihat dari awal lagi pengaruhnya tidak mampu lagi menarik simpati pengundi di Galas.
“Ku Li sudah tidak ada apa-apa kuasa dan kedudukan dalam Umno sekarang. Jadi sekarang tidak ada apa-apa yang mampu beliau janjikan kepada rakyat Galas.
“Lagi pun rakyat Gua Musang kenal siapa Ku Li. Kalau tanpa ada Kesedar yang bertanggungjawab membangunkan kawasan hulu Kelantan, tiada projek besar yang mampu dilaksanakan kerajaan pusat,” ujarnya lagi.   
Muhyiddin juga seperti tidak serik apabila terus menabur janji ketika janji 2009 di Manek Urai belum membuahkan hasilnya.
Jambatan yang menyeberangkan Sungai Lebir di Kampung Manek Urai lama belum kelihatan selepas lebih setahun pilihan raya Dun berkenaan berlalu.
Semalam tiba-tiba Timbalan Presiden Umno itu mendakwa kerajaan pusat memperuntukkan RM180 juta bagi membina 1,500 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Kata beliau  rumah itu untuk disewakan dan dijual kepada penduduk miskin dan berpendapatan rendah.
“Projek PPR ini adalah satu nikmat besar kepada rakyat di Gua Musang, kalau nak tunggu kerajaan negeri melaksanakannya, ia adalah sesuatu mustahil, ibarat menunggu bulan jatuh ke riba.
“Walaupun kerajaan Pusat membelanjakan RM180 juta bagi membangunkan projek ini, namun paling istimewa rakyat berpeluang memilikinya kelak pada harga kira-kira RM35,000 seunit atau menyewanya pada kadar RM124 sebulan,” katanya ketika melancarkan Projek PPR Gua Musang di Kompleks Sukan Kesedar semalam.
Gimik kerajaan BN itu dianggap banyak pihak sebagai ketinggalan jauh di belakang memandangkan kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lalu menyediakan lebih 1,500 lot rumah di Tanah Putih.
Kini Tanah Putih sudah bertukar dari hutan belantara menjadi penempatan tersusun.  Isunya sekarang rakyat perlu memiliki tanah untuk membina kediaman sendiri dan bukan lot di atas angin.
Lagi pun tidak ramai yakin kemampuan Muhyiddin untuk menunaikan segala janji  tersebut ketika kantung duit kerajaan BN sudah kering.
Ada pihak berhujah kerajaan BN di bawah Datuk Seri Najib Razak kini mengharapkan sumbangan dari duit judi Nombor Ekor, Magnun dan apa-apa sahaja bentuk perjudian bagi menampung dana kerajaan.
Kalau sebelum ini keputusan bagi setiap cabutan numbor dibuat sekali sebulan, namun sekarang sampai enam atau tujuh kali dalam tempoh tersebut. Dan setiap cabutan dibuat pengusaha tempat perjudian dapat mengumpul pendapatan sehingga RM7 juta.
Seorang bekas pegawai polis mendakwa tidak ramai yang tahu kepincangan pengurusan kewangan negara di bawah Najib sekarang.
“Pemimpin BN hanya menuduh kerajaan Pulau Pinang menggunakan hasil duit judi untuk warga emas, sedangkan sumber  pendapatan kerajaan BN diambil dari judi disenyapkan,” katanya.
Mengambil kira banyak kepincangan urus tadbir negara dan kebimbangan Najib kemaraan  Pakatan Rakyat menjejak kaki ke Putrajaya pada pilhan raya umum ke-13, bebanan berat sedang dipikul Abdul Aziz di Galas sekarang.
Abdul Aziz yang sekadar berpendidikan setakat SPM tidak mampu untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku dalam negara kepada rakyat. Pengundi  Galas perlu mengambil kira perkara ini.
Pilih pemimpin yang  tidak menghiraukan soal dosa dan pahala bakal mengundang bala kepada penduduk Dun Galas.
sumber: Harakahdaily

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails