Bismillahirrahmanirrahim
Saya meneliti berita The Malaysian Insider yang bertajuk
"SPR : Jualan Murah Gula, Beras di Sungai Limau Tiada Unsur Rasuah".
Saya tidak begitu berminat untuk mengulas panjang kenyataan ini kerana rakyat
sudah bijak menilai suasana kempen UMNO dan Barisan Nasional setiap kali
menjelang PRK. Pelbagai janji manis ditaburkan, jentera kerajaan digunakan dan
orang agama dijemput bagi merasionalkan tindakan UMNO agar dilihat bertepatan
dengan Islam.
Saya berasa pelik dan hairan berhubung penjualan gula di
Sungai Limau dengan harga murah kerana ini bertentangan dengan prinsip kerajaan
yang mahukan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat dengan mengurangkan kadar
pengambilan gula. Saya masih sedar dan waras untuk mengatakan bahawa hujah ini
adalah antara alasan yang sering diulang oleh pihak kerajaan dalam
merasionalkan penghapusan subsidi gula lalu mengakibatkan harga jualan gula
meningkat naik.
Saya mengharapkan ulasan terhadap sesuatu isu diberikan
respon yang mampu mendidik pemikiran rakyat. Saya melahirkan rasa bimbang
dengan fenomena segelintir pihak yang gemar memberikan jawapan balas tanpa
disandarkan kepada fakta dan sumber yang kukuh.
Islam mendidik umatnya agar sentiasa berkata benar walaupun
pahit. Islam menitik beratkan dosa dan pahala agar umatnya sentiasa berdisiplin
dalam ucapan dan perbuatan yang dilakukan. Justeru, saya merayu agar kita
bersama sama menjadikan segenap aspek kehidupan kita sebagai sumber pahala yang
bakal menjadi bekalan di akhirat kelak.
Salam hormat dari saya,
YB Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan
Ahli Dewan Undangan Negeri Gunong Semanggol
No comments:
Post a Comment