Thursday, April 29, 2010

Mangsa tembak tahun lepas juga akan saman

KLANG, 29 April: Bapa kepada mangsa tembakan rambang polis pada 16 April 2009, Ahmad Kamil Abu Hassan menyanjung tinggi hasrat murni Kerajaan Negeri Selangor yang bersedia menghulurkan khidmat guaman kepada keluarga pelajar Aminul Rashid Hamzah yang menjadi mangsa kejadian serupa pada 26 April 2010 sehingga membawa maut.


Ahmad Kamil, 55, berkata, dengan bantuan itu sudah pasti dapat meringankan bebanan pihak yang terlibat memandangkan mereka sudah ditimpa dengan musibah kejadian yang terjadi dengan tiba-tiba sahaja tanpa pernah disangka.

Beliau tertarik dengan sikap kerajaan negeri yang sudi menghulurkan khidmat bantuan guaman kepada keluarga terbabit seperti dilaporkan di muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini (gambar), juga berharap agar nasib anaknya mendapat perhatian pihak tersebut.

“Seperti saya sebut semalam, pihak kami sedang menunggu masa sesuai untuk memfailkan saman terhadap pihak tidak bertanggungjawab dan lebih ringan jika isu anak saya ini juga mendapat perhatian dari Kerajaan Negeri Selangor.

“Saya mengalu-alukan dan ucapkan terima kasih jika ada pihak bersedia menghulurkan bantuan guaman yang memerlukan sumber kewangan yang besar ini,” jelasnya.

Dalam kejadian setahun lalu, anaknya, Shahril Azlan, 25, ditembak dari sipi kiri menyebabkan bahunya ditembusi peluru terus membocorkan paru-paru dan terhenti di tulang belakang T8 dalam kejadian tengah malam di satu simpang yang dikatakan dilakukan oleh anggota polis berpakaian biasa.

Menurut Azlan, sehingga kini kesan dari kejadian itu menyebabkan sukar tidur malam, kebas kaki kiri dan tidak boleh memandu jauh serta telah setahun terpaksa mengambil ubat saraf dan tahan sakit menerusi rawatan susulan di hospital setiap bulan.

Menurutnya, sehingga kini sudah setahun beliau menderita menanggung segala sengsara zahir dan batin tanpa sebarang pembelaan paling wajar dari mereka yang bertanggungjawab melakukan tindakan sangat tidak adil itu.

Untuk rekod, kejadian berlaku di simpang Seksyen 7, Shah Alam menghala ke I-City sekitar jam 12 tengah malam selepas bersama empat rakan lain termasuk seorang anggota polis, mereka pun pulang dengan menaiki tiga kereta berasingan, cuma beliau ketika itu pulang dengan seorang rakannya menaiki kereta Wiranya.

Sebaik sampai di tempat kejadian sekitar 100 meter sebelum persimpangan itu, beliau berhentikan kereta selepas ternampak papan tanda sekatan jalan raya memandangkan cukai keretanya telah tamat tempoh.

Katanya, kejadian itu berlaku tiba-tiba, kerana dalam tidak sedar dan tanpa sebarang soal jawab, terus berlaku tembakan yang terkena bahu melintasi paru-parunya dan peluru menerobos masuk ke tulang belakangnya.

Setelah itu, muncul tiga lelaki berpakaian biasa yang memegang sejenis kayu mengaku sebagai anggota polis dalam keadaan panik namun masih tidak percaya beliau terkena tembakan rambang mereka.

“Saya kesal kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka membiarkan saya menanggung kesakitan di situ selama dua jam manakala rakan saya terus dibawa dari situ,” tegasnya serius.

Beliau masih ingat kata-kata seorang polis senior berpakaian seragam yang berkata kepadanya, “minta banyak-banyak bersabarlah, mereka itu adalah anggota baru yang baharu pegang pistol”.

Setelah menunggu ambulan selama dua jam, beliau dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), dekat sini untuk rawatan segera, suntikan hilangkan bisa peluru dan x-ray dan esoknya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL)

(Gambar: Azlan menunjukkan parut pada badannya. Sehingga kini, peluru masih melekat pada tulang belakangnya. Ia sukar untuk dibuang kerana bimbang implikasinya)

Azlan berkata, beliau diberitahu polis menggunakan pistol jenis revolver untuk menembaknya dari sisi kiri badan, dari bahu terus ke rusuk itu dan doktor yang memeriksanya menyatakan, sebutir peluru telah berhenti di tulang belakang T8.

Sejak itu, beliau dirawat selama dua minggu di HKL, mendapat MC selama dua bulan dengan mendapat gaji bulanan seperti biasa.

“Berdasarkan nasihat doktor dengan persetujuan anggota keluarga, tiada pembedahan dibuat untuk mengeluarkan peluru itu kerana dibimbangi menyebabkan lumpuh pula,” ujarnya.

Satu perkara lagi yang sangat dikesalkan adalah, pihak terbabit memaksa beliau membuat pengakuan tentang kononnya terdapat senjata di dalam keretanya sedangkan beliau tidak pernah memiliki atau membawanya.

Bercakap tentang sikap anggota polis itu, ibunya, Normadiah Sidek, 47, berkata siap dengan sanggup bersumpah bahawa beliau disogokkan untuk membuat pengakuan itu dengan wang sebanyak RM200.

“Meskipun saya kesuntukan wang ketika itu yang berkejar datang dari Sabak Bernam sejak subuh hari namun saya tidak memandang jumlah itu kerana paling utama adalah maruah kami sekeluarga," tegas Normadiah.


Sumber: Harakah

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails