Thursday, October 3, 2013

Kenyataan media isu ASET STADIUM

Kenyataan Media (2 Oktober 2013)
 
ASET STADIUM: KERAJAAN NEGERI PERLU BANTU

 
Jawatankuasa Isu dan Strategik Badan Perhubungan PAS Negeri Perak sedikit kesal berikutan aset-aset stadium yang ada tidak dimanfaatkan sebaik mungkin seperti Velodrome Rakyat dan juga Stadium Indera Mulia. Bagi Velodrome Rakyat, pertandingan acara berbasikal jarang sekali diadakan di situ dan secara tidak langsung penyelenggaraannya amat besar dan ianya tidak berbaloi dengan kewujudannya. Manakala Stadium Indera Mulia pula, aktiviti sukan tertutup seperti pertandingan acara Badminton dan Futsal yang menjadi minat rakyat tidak ada pula penganjurannya bagi memaksimakan aset sedia ada tersebut.

 

Untuk Stadium Perak dan Stadium Sultan Azlan Shah pula yang kami lihat, ada beberapa penganjuran seperti pertandingan Liga Super yang dianjurkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan manakala Persatuan Hoki Malaysia (MHF) turut menganjurkan pertandingan Piala Sultan Azlan Shah saban tahun. Kami merasakan, sudah tiba masanya Kerajaan Negeri Perak memberikan fokus peruntukan dana sukan kepada penganjuran sukan-sukan rakyat dan secara tidak langsung memanfaatkan aset stadium sedia ada tersebut. Bagi kami, ianya boleh dianjurkan secara liga atau pertandingan-pertandingan kelas nasional mahupun peringkat dunia sepertimana Piala Sultan Azlan Shah bagi sukan hoki.

 

Kami mengharapkan perbentangan Bajet Negeri Perak kelak akan memberikan tumpuan kepada aset stadium dan dalam masa yang sama menumpukan sukan rakyat seperti bolasepak, hoki, badminton, futsal dan juga berbasikal. Kami merasakan sukan-sukan tersebut memerlukan suntukan kerajaan negeri bagi menganjurkan pertandingan kelas nasional dan juga dunia. Ianya dalam masa yang sama akan memastikan kewujudan aset stadium ini tidak terbiar begitu sahaja dan ianya akan menyuntik sektor pelancongan sukan secara tidak langsung bagi merancakkkan ekonomi Negeri Perak khasnya. Kami mengharapkan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abd Kadir bersedia menyahut pandangan kami demi melihat kecemerlangan Perak di mata dunia!

 

 

DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS

Koordinator,

Jawatankuasa Isu dan Strategik,

Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails