Sunday, August 22, 2010

Dinar tiada masalah

KU LI : Dinar tiada masalah jika rakyat Kelantan setuju

KUALA LUMPUR, 22 Ogos: Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat, tiada masalah jika kerajaan Kelatan mahu menggunakan dinar emas dan dirham perak sesama rakyat negeri itu.
Menurutnya selagi rakyat negeri itu bersetuju menggunakan dinar dan dirham sebagai alat pertukaran, maka tidak timbul sebarang masalah.

"Undang-undang kata Bank Negara sahaja yang dibenarkan kerajaan persekutuan, keluarkan wang sebagai mata wang.

"Kalau nak ganti itu memang salah, tetapi kalau nak guna sesama dia tidak salah saya rasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini.

Tambah beliau lagi, kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap sebelum itu, beliau juga berkata, kerajaan Kelantan bagaimanapun mesti memberi penerangan secara meluas agar rakyat negeri itu itu keliru dengan nilai dinar dan dirham tersebut.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.

Husam berkata, dinar adalah bersifat pelengkap kepada ringgit dan kedua-duanya boleh digunakan.

Alasan tidak munasabah

Beliau turut membidas pihak yang yang mendakwa mengguna dinar akan merugikan kerana mudah dipalsukan dengan menganggap alasan tersebut tidak munasabah.

"Ringgit pun boleh dipalsukan, tapi bank negara boleh membezakan yang tulen dan palsu.

"Dinar pun ada alat yang boleh bezakan yang tulen atau palsu.

Selain itu dinar jelasnya lebih stabil kerana ianya aset yang sentiasa berkembang dan harganya meningkat mengikut masa berbanding mata wang dunia.

"Kalau judi bola boleh dihalalkan, tapi hairan kenapa tak boleh iktiraf dinar dan dirham," katanya.



-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ku Li: Dinar bergantung pada keyakinan - MALAYSIAKINI


Ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata kejayaan penggunaan dinar dan dirham bergantung kepada keyakinan masyarakat terhadap wang berkenaan.

Berucap dalam satu majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur hari ini, Tengku Razaleigh berkata perkara tersebut disebabkan nilai wang itu bergantung kepada permintaan emas dan perak di pasaran.

Katanya lagi, penerangan meluas juga perlu dijalankan supaya tidak timbul salah faham mengenai nilai wang dinar dan dirham.

Bercakap dalam sidang media selepas itu, Tengku Razaleigh (kanan) berkata masyarakat Kelantan bagaimanapun bebas untuk menggunakan wang berkenaan sekiranya mereka yakin penggunaannya sebagai satu alat pertukaran.

"Wang dinar sebagai alat pertukaran -- dinar yang diperkenalkan di Kelantan atau dirham boleh diterima kalau kita hendak menerimanya.

"Tetapi di bawah amalan sekarang memang ada undang-undang yang katakan hanya ringgit yang sah diperlakukan supaya rakyat tidak dikelirukan.

"Kalau ada orang yang hendak terima dirham itu dia boleh terima. Itu dia punya hal lah," katanya.

Katanya, kerajaan Kelantan melakukan kesalahan sekiranya mengeluarkan wang berkenaan bagi menggantikan matawang ringgit.


Prestasi ekonomi

"Kalau (kerajaan Kelantan) nak keluarkan (dinar dan dirham), dia boleh keluarkan tapi tanggungjawab untuk keluarkan matawang adalah bank negara.

"Tapi nak guna dirham untuk seluruh negara tak bolehlah. Kerajaan Kelantan tak ada kuasa di bawah undang-undang.

"Bawah undang-undang ini hanya Bank Negara yang ada kuasa yang diizinkan kerajaan persekutuan bagi mengeluarkan ringgit," katanya lagi.

Ketika ditanya, beliau menjelaskan bahawa prestasi ekonomi tidak ada kena mengena dengan alat pertukaran wang.

"Sama ada ekonomi naik turun bergantung kepada kegiatan ekonomi itu sendiri, tidak semestinya (bergantung kepada) alat pertukaran yang digunakan," tambahnya.

Katanya lagi, kerajaan negeri juga tidak boleh dipersalahkan sekiranya masyarakat tidak mahu menggunakan dinar dan dirham tersebut.

Turut berucap di majlis anjuran Persatuan Anak Darul Naim Selangor dan Wilayah Persekutuan (PERSADA) itu ialah exco kanan kerajaan negeri Kelantan Datuk Husam Musa.


sumber: Harakahdaily

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails