Wednesday, August 11, 2010

TARBIYAH DAN MUHASABAHLAH DIRIMU

TARBIYAH DAN MUHASABAHLAH DIRIMU MELALUI RAMADHAN INI

Kemenangan demi kemenangan tercatat di dalam lipatan sejarah di dalam bulan Ramadhan. Renungkan sahaja peristiwa –peristiwa seperti Perang Badar (Jumaat, 27 Ramadhan ) Fathu Makkah (tanggal 20 atau 21 Ramadhan )Ma`rakah [perang] Ain Jalut (24 bulan Ramadhan ), dan sebahagian dari peristiwa Tabuk itu sendiri .
Namun, disebalik kemenangan ini adakah ia hadir tanpa diusahi. Lihat peristiwa – peristiwa besar berlaku di atas, mata – mata sejarawan pasti terbeliak lantaran bertapa peri pentingnya untuk difahami mengapakah pada bulan ini umat islam sering mendapat kemenangan. Namun , bukankah bulan ini ber’shaum ?
Menurut Abul A’la al-Maududi, ibadah shaum di bulan Ramadhan ini, sebagai bentuk penghambaan seorang hamba kepada Rabbnya secara total. Sebuah bentuk ketaatan yang menyeluruh kepada Allah Rabbul Alamin. Seorang hamba yang menyerahkan dirinya melalui ibadah shaum dengan penuh ketulusan dan ketundukkan, dan semata-mata ingin mendapatkan ridho-Nya. Inilah perwujudan seorang hamba yang mukhlis. Karena ibadah shaum itu, sebuah ibadah yang merupakan bentuk hubungan seorang hamba dengan Rabbnya semata-mata. Tidak ada yang tau, seorang hamba itu shaum atau tidak, karena sifatnya sangat peribadi. Benarlah kata Ibnu Qayyim al-Jauzi, ibadah shaum adalah sebuah bentuk tadzkiyyatun nafs (pencucian jiwa), sehingga manusia menjadi bersih, dan kembali kepada fitrahnya seperti bayi yang baru lahir.
Ketika nafsu menjadi lemah tiada makanan dan syaitan dibelenggu, pasti inilah peluang yang tiada tandingan untuk beribadah kepadanya. Namun, mengapa kita kadang kala tewas kepada nafsu kita sebelum ini terutamanya pada Ramadhan yang lepas ? Ini kerana kita mesti mengetahui, kita juga telah “ ditarbiah ” oleh syaitan selama sebelas bulan untuk gagal dalam bulan ini. Cabaran yang paling nyata ialah ketika untuk memilih makanan , mata kita pasti kaan meliar mencari makanan, maaflah jika agak kasar, Imam Ghazali dalam kitabnya, yang masyhur, Ihya’ Ulumuddin, mengatakan, ‘Janganlah perutmu engkau jadikan kuburan binatang’.

Sedarlah, Ramadhan hadir membawa ceria bagi yang mengharap pertemuan dengan Allah s.w.t.. Ramadhan hadir membawa harapan buat mereka yang ingin kembali kepada Allah SWT. Ramadhan hadir membawa anugerah bagi mereka yang cemerlang di sisi Allah s.w.t.. Ramdhan, simbol rindu dan cinta Allah s.w.t. kepada hamba-hamba-Nya. Ramadhan merupakan suatu medan muhasabah diri bagi para hamba-Nya yang ingin mengambil faedah dan mendapat kebaikan. Ramadhan menginsafkan takkala mengenangkan kelaparan kaum fakir dan miskin. Ramdhan mengajar erti pengorbanan dan bekerjasama. Ramadhan mengajar erti kemerdekaan.
Ramadhan mengajar kita apa yang dapat kita pelajari darinya. Persoalannya, mengapa kita tidak mengambil pengajaran dari Ramadhan?

Ia bukan tentang Ramadhan, tetapi ia tentang diri kita sendiri. Menjadi hamba Ramadhan atau makna Ramadhan ?. Siapakah kita takkala Ramadhan kunjung tiba membawa seribu satu makna? Adakah kita seorang yang bersedia untuk menerimanya sebagai madrasah perubahan diri? Adakah kita menerima kehadirannya sebagai suatu sekolah meningkatkan amal dan bekalan akhirat?

Atau, adakah kita menyambut kehadirannya sekadar sebagai tetamu yang bertamu dalam hidup kita dan berlalu pergi tanpa mengambil faedah? Kalau ini perihal kamu, bererti kamu belum kenal lagi siapakah tetamumu yang bernama Ramadhan itu, bahkan kamu juga tidak mengenali lagi siapakah diri kamu yang dikunjungi oleh Ramadhan itu. Bak kata realiti, hidup hanya sekali. Tiada untuk kali kedua di dunia ini.  Kalau tidak percaya, lihatlah datuk moyang kita, tidak lagi bersama kita setelah kematian yang sekali itu. Bahkan, kita juga akan seperti mereka, bersama-sama mereka. Jadi, kebahagiaan di dunia tiada ertinya jika ianya menuju suatu “kesudahan” atau berakhir.

Lihatlah manusia kini, ada yang sanggup mengkhianati perjanjian dengan Tuhannya dengan maksiat, semata-mata ingin mengecapi kebahagiaan hidup yang sementara, dengan mengorbankan kebahagiaan yang kekal abadi. Rumah besar dibina dengan duit riba dan pekerjaan haram, yang akhirnya diwarisi oleh anak-anak dan cucu-cicit, sedangkan diri kembali ke rumah yang tidak lebih 3 kaki lebar, 7 kaki dalam dan 7 kaki panjang.

Kalaupun lubang kubur sebesar rumah banglo sekalipun, tidak dapat memberi manfaat kerana alam barzakh bukan lagi suatu alam duniawi. Tuhan s.w.t. bagi chance je kat manusia untuk membongkak di dunia ini, sebab mereka yang bongkak inilah yang bagai menangisi hari-hari mereka di dunia nanti, setelah menginap di darul kubur. Pada ketika itu, tengoklah siapa sebenarnya yang Maha Berkuasa.

Apa sebenarnya masalah manusia, yang tidak sedar diri? Siang malam berfikir untuk menguasai dunia sedangkan Tuhan s.w.t. jadikan dirinya sebagai hamba. Ada yang sanggup bunuh-membunuh untuk takhta, wanita dan harta. Apa cerita?

Bukankah Allah s.w.t. menciptakan manusia untuk menjadi hamba kepada-Nya? Kenapa sibuk kejar dunia sehingga lupakan Dia yang mencipta kamu dan dunia. Ada yang sampai tinggal solat lima waktu kerana kerja. Ada yang sanggup lakukan perkara-perkara maksiat untuk mengecapi kelazatan syahwat yang sementara. Ada yang sanggup memutuskan silatur rahim semata-mata kerana cintakan dunia. Apa cerita? Ini semua lahir dari tidak kenal diri, dan tidak kenal dunia. Siapa kita? Siapa dunia?

Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Qur’an: “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah”

Ibadah ialah ketaatan. Ketaatan ialah kerja hamba. Ini bermakna, manusia diciptakan untuk menjadi hamba AKU yang dalam ayat itu. Siapa AKU dalam ayat itu kalau bukan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Berkuasa, dan seluruh rahsia tauhid tersimpan dalam kalimah AKU dalam ayat tersebut.

Senang cerita, manusia diciptakan atas dasar hamba. Hidup manusia beredar dalam kalimah UBUDIYAH (kehambaan), samada dia sedar atau tidak. Setinggi-tinggi seseorang hamba meningkat tarafnya, hamba tetap hamba. Rasulullah s.a.w. yang merupakan manusia paling tinggi martabatnya sekalipun sering berkata: “Sesungguhnya, aku ialah hamba.Aku makan seperti seorang hamba…”

Kita perlu sedar, satu hakikat iaitu, kalau kita sememangnya hebat, bagaimana kita lahir tanpa kuasa kita? Bukan kita sendiri yang ciptakan diri sendiri. Bukan juga keinginan kita yang menyebabkan kita lahir ke dunia ini. Kalaulah di awal kehidupan kita sekalipun berhajat kepada yang lain, janganlah nak rasa diri sendiri hebat. Kalau rasa diri hebat juga, tahanlah umur supaya tidak tua-tua. Tahanlah nyawa supaya kekal bersama supaya hidup selamanya. Kalau hebat, kenapa kamu akan mati?

Hakikat mati sendiri mengajarmu bahawa kamu ini Maha Lemah, dan memerlukan kepada Maha Berkuasa (Allah s.w.t.). Janganlah sudah terhantuk baru kenal erti bahaya. Cukuplah orang sebelum kamu yang sudah terkena, untuk mengajarmu mengenal sesuatu.

Bukankah Fir’aun yang lebih hebat dan besar empayarnya dari kamu, takkala mengaku diri sebagai tuhan, Tuhan s.w.t. kalahkannya dengan air laut sahaja. Adakah Fir’aun tidak pandai berenang? Ingatlah, kekuatan Allah s.w.t. mengatasi “kekuatan” kita, bahkan “kekuatan” kita itu juga dari-Nya.

Kenallah diri sendiri, pasti kamu kenal Tuhan s.w.t.. Tuhan sangat hampir denganmu, tetapi kamu yang tidak merasainya. Sentiasalah bersama Tuhan s.w.t., kamu akan dapati Tuhan sentiasa bersamamu. Allah s.w.t. memberi kamu peluang di bulan Ramdhan ini, di mana awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya pelepasan dari neraka. Apa lagi yang lebih membahagiakan bagi seseorang hamba yang berdosa atau yang taat, selain dari tiga perkara ini?

Rahmat Allah s.w.t. di Bulan Cinta (Ramadhan) lebih terserlah buatmu kerana selalunya kamu lalai dari-Nya. Sudah lalai dari-Nya sebelas bulan, maka ini bulan, merupakan peluang untuk kamu menghitung diri dan kembali kepada Tuhan diri kamu.

Jangan lupa, hidup ini ada penghujungnya. Penghujungnya ialah kembali kepada Tuhan yang menciptamu dari tiada. Ke mana mahu lari setelah dosa penuh dalam diri yang menghitamkan hati? Larilah selagi boleh lari, dengan dosa yang menggunung tinggi.Apa yang pasti, mati tetap mati. Satu-satunya pilihan yang kita ada ialah, lari kepada-Nya, bukan dari-Nya.

Lari dari-Nya, binasa. Lari menuju-Nya, bahagia.


OLEH: USTAZ MOHD HAFEZ SABRI 
             AJK PEMUDA PAS KAWASAN TAMBUN

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails