Friday, August 20, 2010

Berbaloikah 1/3 ramadhan?

Genap 10 hari umat islam berpuasa di bulan ramadhan almubarak yang penuh keberkatan ini. Maka masih tinggal kira-kira 20 hari berbaki ramadhan yang tinggal.  Berlalunya 10 hari ini, sudahkah kita mencapai target yang diimpikan dan berjaya sudahkah kita? Mari kita bermuhasabah bersama agar segala impian kita menjadi satu kenyataan. Jika 1/3 ramadhan dilalui dengan sia-sia, ayuh bangkitkan jiwa anda untuk memacu memantapkan iman 2/3 ramadhan yang masih berbaki!

Datangnya ramadhan ini, kita sebagai orang yang telah dipilih oleh Allah berada dalam perjuangan islam sewajarnya melahirkan rasa kesyukuran kerana dapat ketemu dengan bulan yang penuh barakah ini. Seharusnya kita membezakan sikap kita dengan orang munafik, dimana kedatangan ramadhan ini jelas membuatkan mereka tidak senang duduk. Segala hikmah ramadhan dijadikan perkara yang enteng buat mereka.Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui” (Al-Baqarah: 216).

Allah menegaskan dalam Al-Quran, Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu kamu agar kamu bertakwa” (Surah Al-Baqarah: 183). Allah memberikan jaminan kepada orang yang beriman, sekiranya hambaNya berpuasa dengan penuh keikhlasan dan kudus nescaya hasilnya adalah takwa. Takwa merupakan hasil dan jawapan kepada segala usaha kita dalam ramadhan ini. Namun sejauh manakah kita merasakan peningkatan takwa dan iman kita setelah berlalunya 10 ramadhan ini. Adakah masih lalai dalam prog hiburan realiti televisyen, pesta maksiat, leka dalam solat fardhu dan tidur sepanjang hari? Jika inilah yang berlaku, nescaya hasil takwa tidak akan menjelma dalam jiwa. Takwa perlu diusahakan! Umpama membina sebiji kek, perlu diadun elok dengan tepungnya, gula, telur dan sebagainya. Bahan-bahan yang sempurna akan menghasilkan kek yang sempurna. Begitu juga dengan takwa, perlu diusahakan dengan secawan keikhlasan, sepotong ketabahan, secubit keinsafan dalam beribadah dalam bulan ramadhan ini. Barulah hasilnya sebuah ketakwaan yang dijanjikan Allah s.w.t. Menyingkap sirah perjuangan nabi, para sahabat dan salafussoleh, dengan berbekalkan ketabahan dan keikhlasan dalam ramadhan ini, segala mehnah dapat ditempuh dengan jayanya. Dan hasilnya kejayaan seperti yang kita ketahui dalam Perang Badar, Salahuddin Al-Ayudi menakluk Bailtulmaqdis etc.

Rugilah kita sekiranya kedatangan ramadhan ini disia-siakan. Dan rugilah juga sekiranya tiada peningkatan takwa dan iman setelah berpenat lelah berpuasa. Jika sebelum kedatangan ramadhan dianggarkan 40-50% tahap iman kita, sewajarnya kedatangan ramadhan ini kita mampu melakukan anjakan paradigm dalam meningkatkan tahap iman kepada 70-80% insyaAllah. Janji Allah sekiranya kita bersungguh-sungguh dalam beribadah tatkala ramadhan ini, hasilnya adalah TAKWA. Apakah kita tidak yakin dengan janji Allah?  Kedatangannya dinanti-nantikan dan pemergiannya ditangisi. Jika tiada perubahan dalam diri kita, maka berusahalah supaya melakukan perubahan. Bersedia melakukan perubahan! Amat malanglah sekiranya amalan kita mendatar sahaja plot grafnya jika dibandingkan sebelum ramadhan.  “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri” (Ar- Ra’du: 11).

Semoga ramadhan ini menjadikan kita terus iltizam dalam perjuangan menegakkan agama Allah dan taqarrub kepada Khaliq dengan lebih mantap. Semoga keberkatan ramadhan ini sentiasa memayungi jundullah dalam agama Allah.

oleh:  Firdaus Ismail
         AJK Pemuda PAS Tambun

1 comment:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails