Friday, October 4, 2013

Perasmian Ijtimak Tarbawi 3.0

Kini berlangsung majlis perasmian Ijtimak Tarbawi..
1. Pagi ini sungguh mendamaikan. Hati pula berdebar-debar tidak sabar untuk musafir ke Pagoh Johor Darul Ta'zim bagi menghadiri program pengkaderan terbesar yang dianjurkan oleh DPPM saban tahun.
2. Ijtimak Tarbawi 3.0 adalah himpunan para pemuda dan pemudi Islam untuk membina serta membugar kombinasi aqidah, spiritual dan peribadi mulia sebagai anggota Gerakan Islam. Penuh dan sarat dengan pengisian dan amalan yang berpaksi kepada gandingan 3 elemen utama itu.
3. Kepada pemuda dan pemudi Islam yang pernah menghadiri Ijtimak Tarbawi siri pertama di Rusila dan kedua di Taman Melewar pasti masih menyimpan rapi kenangan manis dan indah menyertai program Amal Tarbawi ini dan saya yakin mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai Ijtimak Tarbawi siri ketiga ini bagi menambah koleksi pentarbiyahan sekaligus meningkatkan prestasi diri sehingga mendekati noktah utama untuk benar - benar layak sebagai seorang pejuang Islam.
4. Ijtimak Tarbawi yang telah memasuki siri ke tiga ini akan menggarap beberapa unsur penting dalam pembinaannya seperti kefahaman Islam, ukhuwwah fillah, aqidah perjuangan dan lainnya sekaligus akan merawat pelbagai penyakit yang melanda individu atau jamaah Islam pada hari ini. Ia adalah himpunan untuk menghidup-ceriakan Amal Tarbawi dalam jamaah atau Parti PAS ini agar ia tidak malap dan lesu dicelah - celah jadual padat menangani isu semasa dan kemelut politik tanahair.
5. Ijtimak Tarbawi akan membekalkan sumber kekuatan dalaman buat pemuda - pemudi Islam yang bersedia untuk turun ke medan menyahut seruan perjuangan ke arah mendaulatkan Islam di bumi tercinta ini. Ia adalah satu bahagian besar dari 3 bahagian utama operasi Dewan Pemuda PAS. Tiga bahagian operasi DPPM yang saya maksudkan itu ialah :
a] Ijtimak Tarbawi itu sebagai pembina aqidah Ahlus sunnah, fikrah Islami dan akhlak yang soleh.
b] Himpunan 30K sebagai peledak semangat juang dan mengaktifkan gerakkerja pilihanraya agar siap dan sedia menempuh segala jenis cabaran memburu kemenangan.
c] Jambori AMAL mengungguli gerakkerja sukarelawan dan pemantapan skuad beruniform dengan AMAL Lillah untuk menyantun masyarakat dan menghulur khidmat bakti kepada semua tanpa kenal erti penat dan lesu.
6. Himpunan pada ketiga - tiga bahagian utama operasi Dewan Pemuda PAS Malaysia ini adalah bersifat program tahunan. Setiap bahagian operasi itu akan terus disemarakkan melalui aktiviti rutin dan semasa, secara berterusan melalui tindakan DPPM dan juga DPP negeri serta kawasan. Ia diselia dan diurus perlaksanaan gerakkerjanya oleh lajnah dan jabatan yang wujud di bawah DPPM seperti [ sekadar menyebut beberapa contoh ] Akademi Tarbiyah, Jabatan Pilihanraya dan Lajnah penerangan. Ia mengadun 3 jalur besar yang disatukan iaitu:
Tarbiyah,
Dakwah,
Siasah.
3 jalur lebar itu turut diaktifkan oleh semua jabatan dan lajnah yang lain melalui aktiviti yang dirancang.
7. Ijtimak Tarbawi juga seperti mana Himpunan 30K dan Jambori AMAL, adalah program sepadu untuk melengkapkan agenda DPPM mengharungi dunia perjuangan ini sekaligus menjadi kilang untuk melahirkan anggota parti atau jamaah sebagai pemimpin berkarismatik dan ahli berkualiti tinggi. Justeru itu ia menyatukan semua segmen, latar belakang dan cara fikir pemuda dan pemudi Islam yang cintakan Islam dan perjuangannya.
8. Tarbiyah Membina Syakhsiyah adalah tema Ijtimak Tarbawi 3.0 membuktikan usaha serius DPPM mahu membina kualiti anggota parti yang unik dan tersendiri. Sasaran yang ingin dicapai ialah piawai standard anggota parti yang bergerak diatas Manhaj Perjuangan Islam yang tulen. Ianya adalah:
yakin pada perjuangan Islam,
indah pada penampilan imej,
bijak pada pemikiran aqal.
9. Ijtimak Tarbawi tidak memusuhi sesiapa sebaliknya ia kawan atau sahabat pada semua. Ia juga adalah mesin pembugar yang bergerak mengikut skima dan skil Amal Tarbawi terhadap pesertanya. Membawa agenda perdana parti tanpa sebarang dikotomi.
10. Selamat datang saya ucapkan kepada semua pemuda - pemudi Islam yang akan berkampung di Maahad Tahfiz Al Quran Al Muhammadi, Kampung Parit Medan Kundang Ulu, Ledang [dalam Parlimen Pagoh] selama 3 hari 2 malam bermula jam 3 - 5 petang ini dan akan berakhir pada petang hari Ahad. Kepada yang belum mendaftar, boleh terus ke kaunter pendaftaran ditapak program untuk mendaftarkan diri anda sebagai seorang pemilik kenangan terindah dalam hidup sebagai seorang pejuang Islam.
Nikmatilah program AMAL Tarbawi yang direalisasikan secara berjamaah.
Tarbiyah Membina Syakhsiah.
Nasrudin Hassan
Ketua DPP Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails