Tuesday, March 1, 2011

Kenapa Zambry takut isytihar harta

IPOH, 1 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal komen 
yang telah diberikan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di atas saranan 
mengisytiharkan harta semua Exco Kerajaan Negeri Perak.
Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, ini sepertimana langkah Kerajaan 
Negeri Selangor bagi memberikan peluang kepada seluruh rakyat untuk 
menilai sendiri kedudukan sebenar harta setiap Exco Kerajaan Negeri tersebut.
Sepatutnya, kata beliau Zambry sebagai orang nombor satu menunjukkan 
contoh yang baik dikalangan semua Exco Kerajaan Negeri serta sebagai 
bukti bersihnya setiap Exco sedia ada.
“Siapakah yang mentadbir kerajaan negeri sekarang?
“Kenapa cuba memburukkan orang lain sedangkan perkara tersebut adalah 
untuk menunjukkan ketelusan kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan 
di sini. Katanya, DPPN Pk kesal sikap berdalih Zambry di dalam perkara itu.
Justeru, DPPN Pk mendesak agar Zambry  dan semua exco mengisytiharkan 
harta mereka dengan segera.
Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini dikatakan seorang Exco Kerajaan 
Negeri sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 
sepatutnya Zambry berusaha membersihkan imej mereka dengan mengisytiharkan 
harta. “Tetapi Datuk Seri Zambry  bersikap angkuh dan tidak mengambil ikhtibar 
langsung,” ujarnya lagi. DPPN Pk, tegasnya memberikan tempoh seminggu 
kepada Zambry untuk mengisytiharkan harta beliau dan seluruh Exco Kerajaan Negeri.
Tambahnya, jika Zambry dan Exco Kerajaan Negeri gagal mengemukakan atau 
mengisytihar harta untuk dinilai oleh rakyat, maka memang benarlah persepsi yang 
berlegar di kalangan rakyat ketika ini bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) 
adalah di kalangan mereka yang tidak bersih.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails