Friday, February 25, 2011

10 Petanda Dia Jodoh Kita

Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, 
nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" 
(Surah Muhammad, ayat 7)


Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah 
yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia 
memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan 
manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan 
akaL untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan 
rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka 
dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan 
emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, 
masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan 
antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan 
yang ditakdirkan untuk bersama. 


Benarkah ia seperti yang diperkatakan?


Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan 
dia adalah jodoh kita :


1. Bersahaja


Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. 
Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, 
cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan 
\dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak 
kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. 
Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon.
 Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka 
dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia 
mungkin bukan jodoh kita.


2. Senang Bersama


Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun 
perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin 
hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira 
dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. 
Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa 
sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira 
siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.


3. Terima Kita Seadanya


Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil 
peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya 
sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah 
siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun 
dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia 
tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. 
Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan 
rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.


4. Sentiasa Jujur


Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi 
hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. 
Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat 
mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran 
bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila 
berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. 
\Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang 
kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. 
Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan 
yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.


5. Percaya Mempercayai


Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini 
perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. 
Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, 
adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, 
sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari 
dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu 
rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. 
Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia 
kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. 
Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.


6. Senang Bekerjasama


Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam 
jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama 
melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama 
melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. 
Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan 
dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita 
dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. 
Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang 
lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia 
mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, 
sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban 
tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?


7. Memahami Diri Kita


Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. 
Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi 
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. 
Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama 
kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, 
dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut 
dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula 
suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia 
sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat 
senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.


8. Tampilkan Kelemahan


Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku 
dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita 
memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi
teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan 
bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu 
\dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan 
mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun 
tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita 
daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan 
sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.


9. Kata Hati


Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam 
yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan 
deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita 
dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga 
reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan 
hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? 
Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan 
yang Maha berkuasa.


10. Solat Istikharah dan Tawakkal


Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia 
hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang 
Maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, 
diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan 
tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan 
memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan 
izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah 
keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang 
kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. 
Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. 
Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat 
adalah kekal selamanya.


Sumber : iluvislam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails