Monday, October 25, 2010

“Bajet 2011 – membawa negara ke arah mana ?”

Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan Pertama pada tanggal 15 Oktober 2010 telah menjelaskan lagi bahawa agenda ekonomi dan transformasi yang dibawa oleh beliau sebenarnya berpusing ditakuk lama dengan diberi penjenamaan semula. Ianya ditaburkan dengan angka yang indah-indah bersifat kosmetik, dengan mengkesampingkan pembinaan manusia yang menjadi enjin melaksanakan agenda perubahan ekonomi berkenaan.
Akhirnya, akibat dari penyelewangan, pembaziran, rasuah yang bermaharajalela serta sistem pemerintahan yang tidak bersifat adil kepada rakyat teramai maka kesejahteraan rakyat tentunya akan berada di takuk lama. Inilah yang ditekankan oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS) bahawa asas terbesar ialah bahawa kerajaan yang dipacu oleh UMNO-BN telah gagal dalam mencapai matlamat Dasar Ekonomi Baru setelah diberi peluang memerintah selama lebih 50 tahun,  bagaimana mungkin kerajaan yang sama boleh melakukan perubahan dengan satu dasar lain pula sedangkan sistem pemerintahan dan politik peras ugut dan penyisihan komponen ekonomi terhadap rakyat di luar bandar terus berleluasa ?
Dalam masa yang sama, fokus kerajaan juga terus tersasar di atas sebab-sebab yang tidak masuk akal, umpamanya peruntukan untuk program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang hanya dinikmati oleh segelintir kecil pihak dan masih diperingkat percubaan menikmati dana sebanyak RM111 juta, berbanding dengan RM 100 juta untuk meningkatkan taraf hidup orang asli dan Peribumi, dan lebih parah lagi berbanding peruntukkan RM95 juta yang diperuntukkan sebagai bantuan per-kapita untuk sekolah agama rakyat (SAR) rendah dan menengah.

Apa yang penting ialah bukannya jumlah angka-angka yang sedap didengar, umpamanya dibentangkan bahawa Pendapatan Per Kapita meningkat sebanyak 6.1 % kepada RM28,000; kononnya kadar pengangguran di takuk 3.5%; sedangkan realitinya rakyat di luar bandar tidak menikmati faedah langsung dari peningkatan angka-angka sedemikian bahkan jauh sekali dari menikmati kesejahteraan hidup akibat dari perubahan angka-angka ini !. Inilah hakikatnya. Kita katakan bahawa kerajaan UMNO-BN lah sebenarnya yang menjadi “saudagar mimpi yang memperdagangkan dongengan” bahkan mengelirukan rakyat dengan angka-angka sedemikian. Projek-projek pelaburan juga dilihat gagal dalam melakukan anjakan terhadap taraf hidup rakyat luar bandar yang miskin dan memerlukan.

Kerajaan juga nampaknya tidak cuba belajar dari kesilapan lalu dengan mengimpikan projek pembangunan Warisan Merdeka dengan menara 100 tingkat beserta kemudahannya yang bakal menelan belanja asas RM 5 billion, sedangkan projek koridor yang sepatutnya lebih memberi manafaat kepada rakyat hanyalah menerima secebis peruntukan sahaja. Contohnya peruntukan untuk East Coast Economic Region (ECER) hanyalah RM178 juta, iaitu dalam lingkungan 3.6% dari projek Warisan Merdeka. Ini tidak lagi dicampur dengan kemungkinan projek RM5 billion itu meningkat sebagaimana yang sentiasa berlaku dalam pemerintahan kerajaan UMNO-BN.

Agensi yang sepatutnya melaksanakan amanah untuk membangunkan ekonomi rakyat miskin, kini telah menumpukan pula kepada projek mega sebegini, kerana pimpinan UMNO-BN lah sebenarnya yang ‘bermimpikan projek’ lantas ‘memperdagangkan tanggungjawab membangunkan ekonomi rakyat’.

PAS menekankan peningkatan taraf hidup rakyat miskin perlulah melalui fasa di mana rakyat teramai ini perlu merasakan bahawa mereka adalah menjadi sebahagian dari enjin aktiviti ekonomi bahkan mereka juga menjadi pemain dalam memperkasakan pembangunan negara.


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails